Selasa, 25 September 2012

10 KEAJAIBAN SEDEKAH

Assalamualaikum dan Salam Ukhwah,

Semalam saya telah ditakdirkan Allah untuk bertemu dengan seorang wanita mualaf yang telah membuka mata saya bahawasanya, nikmat menjadi hamba Allah sejak lahir sangat besar. Walaupun kita dilahirkan sebagai seorang muslim namun, bagi saya usaha yang kita lakukan untuk membangunkan ummah, kita masih lagi kecil berbanding dirinya. Kita sibuk dengan urusan dunia sehingga kita lupa untuk menghulurkan bantuan untuk membantu orang yang dilanda kesusahan.

Saya berasa diri ini amat kerdil kerana walaupun beliau merupakan seorang mualaf namun, setiap hari dia akan berusaha untuk menambah seberapa banyak pahala dengan membantu orang lain. Dia sentiasa berdoa pada Allah supaya matanya sentiasa diperlihatkan atau bertemu dengan orang yang memerlukan pertolongan. Hatta, di waktu pagi sekalipun, dia berusaha mencari penunggang motorsikal yang kehabisan minyak untuk dibantu.

Subhanallah, usahanya yang sungguh murni. Pertolongan itu juga boleh dianggap sebagai sedekah jariah yang boleh membantu beliau di akhirat kelak, insya-Allah. Dia mengakui bahawa dirinya begitu gembira dan bahagia jika dapat membantu orang lain setiap hari. Oleh itu, saya amat tertarik untuk berkongsi rahsia dan keajaiban yang diperolehi dengan bersedekah.

Dalam beberapa hadith, Rasulullah SAW banyak menjelaskan tentang keajaiban sedekah.

Beberapa keajaiban sedekah tersebut di antaranya adalah:

1. Sedekah mampu melepaskan pelakunya dari bencana.
Rasulullah SAW bersabda,
"Sesungguhnya sedekah dapat menolak 70 pintu bencana."

2. Sedekah merupakan ubat penyakit pada tubuh.
Rasulullah SAW bersabda,
"Ubatilah penyakitmu dengan bersedekah."

3. Sedekah sebagai benteng buat diri kita.
Rasulullah SAW bersabda,
"Bentengilah harta bendamu dengan sedekah."

4. Sedekah sebagai pemadam kemurkaan Allah SWT.
Rasulullah SAW bersabda,
"Sedekah dapat menutup kemurkaan Allah."

5. Sedekah mampu menambah keakraban sesama muslim.
Rasulullah SAW bersabda,
"Sedekah adalah hadiah. Maka, berikanlah hadiah kepada teman pergaulanmu dan berkasih sayanglah kalian dengan saling memberi sedekah."

6. Sedekah dapat menambah umur.
"Rasulullah SAW bersabda,
"Sedekah dapat menolak musibah serta dapat menambah kebarakahan umur."

7. Sedekah mampu menanamkan rasa belas kasihan di dalam hati.
Rasulullah SAW bersabda,
"Barang siapa mendapatkan kesedihan hati, maka berikanlah sedekah."

8. Sedekah sebagai syafaat kelak di akhirat.
Rasulullah SAW bersabda,
"Sesungguhnya yang akan menaungi orang mukmin pada hari kiamat kelak adalah sedekah."

9. Sedekah menuai pahala yang termat besar.
Dalam sebuah atsar disebutkan,
"Barang siapa bersedekah dengan sebiji tamar, kelak di hari kiamat dia akan mendapat pahala sebesar gunung yang berada di atas timbangan amalnya."

10. Sedekah sebagai wasilah menambah rezeki.
Rasululah SAW bersabda,
"Tidak akan berkurang harta yang disedekahkan, bahkan akan bertambah, akan bertambah, dan akan bertambah."

Itulah beberapa hadith mengenai kebaikan sedekah.

Maka, pancinglah rezeki dengan bersedekah. 

Sumber dari - http://uswahislam.blogspot.com/2011/10/10-keajaiban-sedekah.html

Tiada ulasan:

Catat Komen