Khamis, 28 Ogos 2014

APA ITU GST?



GST atau dalam Bahasa Inggeris 'Goods and Services Tax' adalah sejenis cukai di mana apa sahaja barang dan perkhidmatan yang digunakan oleh pengguna mengandungi elemen cukai. Sebab itulah ia juga dikenali sebagai cukai kepenggunaan (consumption tax). Dalam erti kata yang lain, asasnya jauh lebih luas daripada Cukai Jualan dan Cukai Perkhidmatan yang ada sekarang.

GST adalah cukai penggunaan dan ia berasaskan konsep nilai ditambah. GST dikutip daripada pelanggan untuk pihak kerajaan oleh organisasi perniagaan yang berdaftar dengan pihak berkuasa cukai. Lazimnya, pembekal atau penjual boleh mendaftar untuk mengutip GST jika jumlah jualan tahunan bagi produk atau perkhidmatan yang dibekal melebihi jumlah tertentu yang ditetapkan.

GST diambil kira dalam setiap tahap urus niaga. Jumlah jualan barangan dan perkhidmatan (dikenali juga sebagai bekalan) merupakan jumlah nilai yang diterima oleh organisasi perniagaan (tidak termasuk GST) ke atas semua aktiviti yang dicukai.

Aktiviti yang dicukai merangkumi aktiviti yang dijalankan secara berterusan. Organisasi perniagaan yang berkenaan hendaklah membekal (atau bersetuju untuk membekal) barangan atau perkhidmatan kepada pengguna sama ada untuk tujuan mendapat untung atau tujuan lain seperti aktiviti perdagangan, pembuatan, kerjaya, persatuan atau kelab.

Harga bekalan yang dijual ditetapkan selepas mengambil kira GST. Organisasi perniagaan juga boleh menuntut kredit cukai bagi setiap GST yang telah dimasuk kira dalam bekalan yang dibeli untuk tujuan mengendalikan perniagaan. Kredit cukai ini dikenali sebagai “kredit cukai input”.

Bekalan yang dikecualikan cukai

Bagaimanapun, barangan atau perkhidmatan yang merupakan keperluan asas tidak dikenakan cukai. Di Australia, umpamanya, barangan dan perkhidmatan yang tidak dikenakan cukai termasuk barangan makanan asasi (kecuali makanan tersedia, makanan bawa-balik, snek, alkohol dan minuman ringan), perkhidmatan kesihatan, ubat-ubatan, pendidikan dan penjagaan kanak-kanak, utiliti, barangan tertentu yang dibekalkan oleh pertubuhan amal dan agama, dan barangan dan perkhidmatan yang dieksport.

Pelaksanaan GST di negara ini merupakan satu langkah wajar memandangkan kebanyakan negara lain telah melaksanakannya. Di samping itu, jaminan kerajaan untuk mengecualikan cukai tersebut terhadap barangan dan perkhidmatan keperluan asas bertujuan untuk tidak membebankan pengguna berpendapatan rendah di samping mengelak berlakunya inflasi. GST hanya dikenakan kepada barangan atau perkhidmatan mewah yang mampu dibeli oleh pengguna berpendapatan tinggi. Di samping itu perniagaan kecil juga dikecualikan daripada GST.

Ada yang mengsyaratkan jika diuruskan dengan baik dengan kerjasama pelbagai pihak, GST mampu meningkatkan hasil negara melalui peningkatan kadar pematuhan cukai. Di samping itu, sistem ini juga dapat memastikan setiap perniagaan menyimpan rekod kewangan dengan lebih sempurna. Walaupun pelaksanaan sistem GST dianggap mencabar, tempoh yang selesa sebelum pelaksanaanya membolehkan setiap lapisan masyarakat diberi pengetahuan mengenainya.          

Sumber - http://pmr.penerangan.gov.my

Tiada ulasan:

Catat Komen