Rabu, 10 September 2014

USTAZ MUHAMAD ABDULLAH AL AMIN DATANG LAGI..




Alhamdulillah, sejuk mata memandang wajah manis dan ceria Ustaz Muhamad Bin Abdullah Al Amin yang tiba di ruang pejabat KMCS semalam, 9 September 2014 (Selasa). Subhanallah, muka yang sentiasa tersenyum manis ini kelihatan sungguh tenang sekali. Beliau bersama dua pembantu telah tiba di Bilik Mesyuarat KMCS lebih kurang jam 2.30 petang atas jemputan kami untuk menyampaikan ceramah dalam Sesi Transformasi Minda.

Untuk makluman semua, ini merupakan kali ketiga KMCS menjemput Ustaz Muhamad yang terkenal dengan panggilan Ustaz Amin ke pejabat KMCS. Biarpun Ustaz Amin sibuk dengan pelbagai aktiviti dakwah dan terpaksa berkejar ke sana ke mari bagi memenuhi undangan pelbagai saluran media, namun beliau masih lagi melapangkan masa untuk 'berusrah' bersama warga KMCS. Terima kasih Ustaz!




Sesi Transformasi Minda yang bertajuk "Ikhlas dan Redha Dalam Bekerja (Di Pejabat) dan Beribadat Kepada Allah Untuk Menjadi Insan Yang Berjaya (Beriman Kepada Allah) sungguh bermanfaat buat kami warga KMCS kerana ia sedikit sebanyak membuka minda kami dengan apa yang dimaksudkan dengan "IKHLAS" dan "REDHA" dalam mencapai kejayaan baik di dunia mahupun akhirat.

Di antara inti pati 'usrah' ini adalah seperti berikut:

1. Kebiasaannya, manusia berjaya kerana TIGA (3) sebab:

  a. Ilmu
  b. Tabiat
  c. Nasib

2. Islam datang untuk memperbaiki tabiat manusia ke arah yang lebih baik melalui cara hidup yang betul.

3. Ikhlas merupakan sikap yang perlu ada dalam setiap umat Islam kerana syaitan tidak mampu menggoda orang yang ikhlas.

4. Apabila seseorang itu ikhlas dalam bekerja, maka dia akan bekerja dengan bersungguh-sungguh dan tidak akan menangguhkan kerja. Kita perlu tanam dalam diri bahawa, "benda yang boleh disiapkan hari ini jangan bertangguh sehingga esok kerana esok adalah hari untuk memulakan kerja yang baru".

5. Redha bermaksud kematangan akal dan hati kita meyakini bahawa sesuatu benda yang terjadi pasti ada hikmahnya. Bagi menjadi seorang yang redha, kita perlu sentiasa memaafkan orang lain dan menjadikan zikir sebagai amalan. Zikir yang terbaik adalah "Laa haulawala quwwata illa billah" yang bermaksud. "tiada daya dan kuasa melainkan dengan izin Allah".

6. Maafkan kesalahan yang orang lain lakukan pada kita supaya hilang beban dalam diri.

7. Tetapkan dalam diri bahawa semua yang berlaku pada hari ini pasti ada hikmahnya pada hari esok.

8. Sifat ikhlas dan redha mampu membentuk ilmu yang boleh menjadikan kita insan yang berjaya kerana:

  a. Orang yang ikhlas akan suka belajar dan mencari ilmu,

  b. Apabila kita redha, kita akan lebih banyak memberi dan menyampaikan ilmu kepada orang lain. Lagi banyak ilmu yang kita sampaikan, Allah akan beri lebih banyak ilmu yang kita tidak tahu.

9. Orang yang ikhlas dan redha dapat mengundang nasib yang baik kerana Allah akan beri kesenangan hidup dan diperluaskan sumber rezeki. Sesiapa yang bertakwa, Allah akan beri jalan keluar bagi setiap permasalahan dan diberikan kepadanya rezeki yang tidak disangka-sangka.

10. Apabila kita redha dengan segala ujian, Allah akan beri ketenangan kepada kita. Orang yang tenang berupaya untuk mendapat ilham yang terbaik. 

Semoga perkongsian ringkas ini dapat membantu kita untuk melakukan transformasi diri ke arah yang lebih positif dan sebagai panduan bersama dalam menjadi hamba Allah yang terbaik dunia dan akhirat, insya-Allah. 



Tiada ulasan:

Catat Komen