Isnin, 8 September 2014

KERJA-KERJA PENAMBAHBAIKAN DI TANDAS KMCS






Alhamdulillah, baru-baru ini Pengurusan Ibu Pejabat telah meluluskan permohonan peruntukan kepada KMCS untuk mewujudkan tempat wuduk di tandas lelaki dan perempuan bagi memudahkan warga KMCS mengambil wuduk dengan selesa. 

Unit Pentadbiran KMCS telah mengambil tindakan dengan melantik kontraktor yang berpengalaman bagi menjalankan kerja-kerja tersebut dan ia telah selesai dilaksanakan pada hari Khamis, 4 September 2014 yang lalu. Terima kasih kepada semua yang terlibat. Kami warga KMCS sangat gembira dengan adanya tempat wuduk ini.



Jumaat, 5 September 2014

BERTANDANG LAGI KE BENGKEL SWEET TOUCH CERAMIC



Rasanya sudah hampir setahun admin tidak menjejakkan kami ke bengkel Sweet Touch Ceramic Sdn. Bhd. yang terletak di No. 4 & 6, Au3/16, 54200 Ulu Klang, Kuala Lumpur. Tapi, alhamdulillah, sampai juga kali ini. Pemilik premis ini yang mesra kami panggil Kak Ana telah menyambut kedatangan kami dengan mesra. 



Di sudut belakang bengkel terdapat ribuan pinggan mangkuk seramik yang sudah hampir siap dibakar dan menanti masa untuk ditampal motif rekaan tempahan pelanggan yang dipanggil 'decal'. Jom, kita lihat apa yang ada di bengkel Sweet Touch Ceramic ini.





 


Khamis, 4 September 2014

LAWATAN KE BENGKEL BARU ZBY DESIGN


Alhamdulillah, setelah beberapa kali temujanji di buat, akhirnya team KMCS akhirnya menjejakkan kaki ke bengkel baru ZBY Design yang telah berpindah ke lokasi baru di alamat, No. 8, Jalan Kemboja 5A/4, Bukit Sentosa, Bukit Beruntung. Jika dahulu mereka hanya beroperasi di rumah di Taman Koperasi Polis, Batu Caves, kini, mereka telah melangkah setapak lagi untuk mempunyai bengkel yang lebih luas bagi memfokuskan pengeluaran batik secara lebih serius dan meluas. 



Puan Zubaidah kini sudah mampu tersenyum puas kerana minatnya dalam batik selama ini telah menunjukkan hasil yang positif dan membanggakan kerana jenama ini kian mendapat tempat di hati kerabat Di Raja Perlis.

Apa yang lebih menarik, hampir kesemua anaknya turut terlibat dalam membantu Puan Zubaidah untuk mempromosikan nama ZBY Design ke tahap yang lebih baik, Alhamdulillah :)
 




Rabu, 3 September 2014

PELAJAR JEPUN DATANG LAGI...






Assalamualaikum dan Salam Sejahtera semua pembaca blog KMCS yang disayangi. Salam Merdeka semua! Apa cerita kami untuk hari ini? Macam biasa, team J1M1K akan menjelajah ke sekolah-sekolah untuk aktiviti interaktif kraf. Pada kali ini kami telah kembali ke Sekolah Kebangsaan Seafield bertempat di Subang Jaya bagi mengadakan aktiviti mencanting batik. Ia merupakan salah satu acara yang dirancang bagi  menyambut beberapa orang pelajar daripada negara Jepun yang terlibat dalam sesi Lawatan Sambil Belajar Jepun-Malaysia. Ini merupakan tahun ke-3 KMCS berkunjung ke sekolah ini bagi membantu pihak sekolah memperkenalkan seni batik kepada 'tetamu khas' sekolah mereka. 





Haha... Suasana di sana tak ubah seperti ayam bercakap dengan itik kerana masing-masing mempunyai masalah komunikasi. 'Tetamu Jepun' ini tidak tahu berbahasa Inggeris. Alhamdulillah, jurubahasa yang mengiringi mereka sangat membantu kami untuk menerangkan apa yang perlu mereka lakukan untuk menyiapkan lukisan batik tersebut. Semuanya berjalan dengan lancar dan KMCS mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua yang terlibat menjayakan aktiviti ini. Sayonara! Panjang umur kita jumpa lagi, insya-Allah.

 


Jumaat, 29 Ogos 2014

PERBINCANGAN BAGI MENGADAKAN AKTIVITI BIMBINGAN TEKNIKAL DI KOPERASI SG. LANG


Pada 21 Ogos 2014 (Khamis) yang lalu, En. Azrul dan Puan Suzita telah bertemu 'enam mata' bersama En. Yusof bin Mohd Nasir, usahawan daripada syarikat Garden Gallery bertempat di Design Center, Kompleks Kraf Kuala Lumpur untuk membincangkan perancangan bagi mengadakan Aktiviti Bimbingan Teknikal di Koperasi Sg. Lang, Banting, Selangor. 


Ini adalah kerana, KMCS telah menerima permohonan daripada En. Salimin, Pengerusi Koperasi Sg. Lang supaya KMCS membantu mereka meningkatkan kualiti dan menyumbang idea baru terhadap produk kraf kulit jagung yang telah diusahakan oleh beberapa orang ahli koperasi di kawasan tersebut selama ini. 


Jadi, perbincangan ini diadakan untuk mendapatkan bantuan kepakaran dan tunjuk ajar daripada En. Yusof dalam membantu Koperasi Sg. Lang untuk lebih proaktif dan berjaya di masa akan datang, insya-Allah.




Khamis, 28 Ogos 2014

APA ITU GST?



GST atau dalam Bahasa Inggeris 'Goods and Services Tax' adalah sejenis cukai di mana apa sahaja barang dan perkhidmatan yang digunakan oleh pengguna mengandungi elemen cukai. Sebab itulah ia juga dikenali sebagai cukai kepenggunaan (consumption tax). Dalam erti kata yang lain, asasnya jauh lebih luas daripada Cukai Jualan dan Cukai Perkhidmatan yang ada sekarang.

GST adalah cukai penggunaan dan ia berasaskan konsep nilai ditambah. GST dikutip daripada pelanggan untuk pihak kerajaan oleh organisasi perniagaan yang berdaftar dengan pihak berkuasa cukai. Lazimnya, pembekal atau penjual boleh mendaftar untuk mengutip GST jika jumlah jualan tahunan bagi produk atau perkhidmatan yang dibekal melebihi jumlah tertentu yang ditetapkan.

GST diambil kira dalam setiap tahap urus niaga. Jumlah jualan barangan dan perkhidmatan (dikenali juga sebagai bekalan) merupakan jumlah nilai yang diterima oleh organisasi perniagaan (tidak termasuk GST) ke atas semua aktiviti yang dicukai.

Aktiviti yang dicukai merangkumi aktiviti yang dijalankan secara berterusan. Organisasi perniagaan yang berkenaan hendaklah membekal (atau bersetuju untuk membekal) barangan atau perkhidmatan kepada pengguna sama ada untuk tujuan mendapat untung atau tujuan lain seperti aktiviti perdagangan, pembuatan, kerjaya, persatuan atau kelab.

Harga bekalan yang dijual ditetapkan selepas mengambil kira GST. Organisasi perniagaan juga boleh menuntut kredit cukai bagi setiap GST yang telah dimasuk kira dalam bekalan yang dibeli untuk tujuan mengendalikan perniagaan. Kredit cukai ini dikenali sebagai “kredit cukai input”.

Bekalan yang dikecualikan cukai

Bagaimanapun, barangan atau perkhidmatan yang merupakan keperluan asas tidak dikenakan cukai. Di Australia, umpamanya, barangan dan perkhidmatan yang tidak dikenakan cukai termasuk barangan makanan asasi (kecuali makanan tersedia, makanan bawa-balik, snek, alkohol dan minuman ringan), perkhidmatan kesihatan, ubat-ubatan, pendidikan dan penjagaan kanak-kanak, utiliti, barangan tertentu yang dibekalkan oleh pertubuhan amal dan agama, dan barangan dan perkhidmatan yang dieksport.

Pelaksanaan GST di negara ini merupakan satu langkah wajar memandangkan kebanyakan negara lain telah melaksanakannya. Di samping itu, jaminan kerajaan untuk mengecualikan cukai tersebut terhadap barangan dan perkhidmatan keperluan asas bertujuan untuk tidak membebankan pengguna berpendapatan rendah di samping mengelak berlakunya inflasi. GST hanya dikenakan kepada barangan atau perkhidmatan mewah yang mampu dibeli oleh pengguna berpendapatan tinggi. Di samping itu perniagaan kecil juga dikecualikan daripada GST.

Ada yang mengsyaratkan jika diuruskan dengan baik dengan kerjasama pelbagai pihak, GST mampu meningkatkan hasil negara melalui peningkatan kadar pematuhan cukai. Di samping itu, sistem ini juga dapat memastikan setiap perniagaan menyimpan rekod kewangan dengan lebih sempurna. Walaupun pelaksanaan sistem GST dianggap mencabar, tempoh yang selesa sebelum pelaksanaanya membolehkan setiap lapisan masyarakat diberi pengetahuan mengenainya.          

Sumber - http://pmr.penerangan.gov.my

Selasa, 26 Ogos 2014

JEMPUTAN MAJLIS WARNARASA SELANGOR



Baru-baru ini warga KMCS telah dijemput bagi menghadiri Majlis WarnaRasa Selangor pada 24 Ogos 2014 bertempat di Hotel Royale Chulan, Damansara. Disebabkan ia berlangsung pada hari minggu, jadi tidak ramai warga kerja yang tidak dapat hadir sama. Cuma En. Dan, En. Lan dan En. Syahrul sahaja yang mewakili warga KMCS untuk sama-sama memeriahkan majlis ini. Apa-apa pun KMCS mengucapkan jutaan terima kasih atas jemputan tersebut. Masing-masing senyum lebar kerana makanan yang dihidangkan sedap dan lazat :)








Isnin, 25 Ogos 2014

MESYUARAT JKPC, JKPAK DAN JKPKA BULAN OGOS


Mesyuarat oh mesyuarat.. Mesyuarat JKPC, JKPAK DAN JKPKA datang lagi.. Mesyuarat pada bulan Ogos telah diadakan pada 19 Ogos 2014 pada jam 9.00 pagi bertempat di Bilik Mesyuarat KMCS. Mesyuarat yang dipengerusikan oleh Puan Pengarah bermula sedikit awal kerana ada beberapa anggota kerja yang perlu keluar awal bagi menghadiri satu mesyuarat lagi di Putrajaya.



Seperti biasa Puan Pengerusi telah menyampaikan beberapa amanat penting sama ada arahan dari masa ke semasa daripada Ibu Pejabat atau lain-lain perutusan yang berkaitan untuk perhatian semua anggota kerja KMCS. 


Puan Pengerusi juga turut memberi beberapa nasihat serta peringatan agar semua anggota kerja menepati peraturan dan arahan pejabat di samping bersikap jujur terhadap amanah dan tanggungjawab yang telah diberikan. Mesyuarat turut membincangkan pelbagai pelaksanaan pelbagai aktiviti yang melibat semua unit di KMCS dan tamat pada jam 12.00 tengah hari.

Jumaat, 22 Ogos 2014

MENJEJAKI USAHAWAN BARU... ALANA ILHAM KAMI DATANG

Seperti biasa usaha-usaha untuk menjejaki usahawan-usahawan baru giat dijalankan oleh kami di KMCS. Tak kira sama ada Unit Usahawan, Unit Promosi atau Unit Rekaan akan sama-sama turun padang untuk mengenali usahawan baru yang berdaftar dengan KMCS.


Pada kali ini, admin menemani Puan Suzita dan Encik Nazlan ke bengkel batik Alana Ilham yang terletak di Taman Kosas, Ampang. Mulanya terkial-kial juga kami mencari alamat bengkel tersebut tetapi alhamdulillah ia mudah sahaja. Bengkel batik ini diusahakan di sebuah rumah teres dua tingkat diuruskan oleh seorang wanita cekal bernama Puan Nik Intan Zaharah. 


Beliau yang dahulunya bekerja dalam bidang pengiklanan telah mengambil keputusan meletak jawatan kerana mempunyai minat yang amat mendapat dalam bidang fesyen dan batik. Nampaknya, keputusan yang diambil oleh beliau sangat tepat kerana walaupun perniagaannya baru menginjak masuk usia dua tahun namun beliau telah berjaya menjuarai Pertandingan Piala Seri Indon 2013 dalam kategori fesyen. 




Beliau yang bermula dengan tiada pengetahuan langsung dalam bidang batik, perlahan-lahan belajar bersama beberapa orang 'guru' dan akhirnya lahirlah satu jenama "Alana Ilham". Baru-baru ini juga Alana Ilham telah terpilih untuk menyertai Kuala Lumpur Fashion Week 2014 bertempat di Pusat Beli-Belah Pavillion, Kuala Lumpur.