Jumaat, 21 Januari 2011

‘Jauh berjalan, luas pemandangan..’ itulah ungkapan paling sesuai bagi menceritakan pengalaman Puan Pengarah ketika mengadakan lawatan ke empat bengkel usahawan kraf batik di bawah program Satu Daerah Satu Industri (SDSI). Ia juga sebagai sesi pengenalan di antara Pengarah dan usahawan.




" Yang kena jaga ofis, jangan nakal-nakal..."



Segar dan penuh bersemangat sebelum perjalanan dimulakan.




Temujanji bersama usahawan telah dibuat sehari sebelumnya. Perasaan? Tentunya seronok, gementar dan macam-macam lagi. Hari yang dinanti pun tiba. Ditemani Timbalan Pengarah bersama tiga ketua unit, lawatan dimulakan dengan bengkel D’ Har Sdn Bhd yang terletak di Selayang dan kemudiaannya ke bengkel Barakaf Batik di Gombak. Pada jam 12.00 tengahari, kami bergerak menuju bengkel Abas & Sal Batik yang terletak di Kg. Padang Balang, Gombak dan pada sebelah petangnya kami mengunjungi bengkel terakhir iaitu Khadani Sdn. Bhd. di Bandar Baru Selayang.


Lawatan ini diadakan bagi membawa Pengarah melihat sendiri keadaan bengkel usahawan dan turut membincangkan beberapa pemasalahan berkaitan Hari Kraf Kebangsaan 2011, reka bentuk produk baru dan sebagainya. Pemasalahan yang lain juga turut diambil maklum dan akan dibincangkan dengan lebih lanjut pada sesi perjumpaan bersama usahawan yang akan diadakan tidak lama lagi. Diharapkan lawatan ini membuahkan hasil yang cukup manis untuk ingati. Kepada semua usahawan yang terlibat, terima kasih kerana sudi meluangkan masa untuk menerima kunjungan kami. Terima kasih.




"Pilih-pilih jangan tak pilih..."




"Berbangga bekas-bekas pelajar IKN bekerjaya di bengkel D' Har Sdn. Bhd.




"Apa la agaknya yang dibincangkan Kak Sal dengan Puan Pengarah?? Agak-agak dia tanya bila nak dapat flat ironer kot..



Tn. Hj. Karim menerangkan dengan panjang lebar produk-produk baru untuk HKK 2011 mengikut konsep 'retro'.


Pukul 4.30 petang, wajah-wajah keletihan terpamer akibat tak sempat makan tengahari demi menjaga temujanji bersama usahawan.

TAKLIMAT HALA TUJU DAN SESI MOTIVASI TAHUN BARU BERSAMA PENGARAH BARU

Hari demi hari berlalu dengan pantas. Masa berlari tanpa kita sedari. Sedar tidak sedar, kita telah beberapa hari melangkah ke tahun baru 2011. Syukur Alhamdulillah kerana dengan izin-Nya kita masih diberikan peluang bagi meneruskan kehidupan di muka bumi ciptaan Allah s.w.t yang sungguh indah ini. Semoga tahun baru ini memberikan sinar baru kepada kita.


Kesempatan ini telah diambil oleh kami untuk mengadakan Taklimat dan Sesi Motivasi Tahun Baru Bersama Pengarah yang telah dihadiri oleh semua warga kerja Kraftangan Malaysia Cawangan Selangor. Gurau senda, gelak tawa dan usik mengusik menjadi penyeri suasana. Tahu-tahu sajalah bila masing-masing berkumpul. Seribu satu suasana yang ada. Tapi inilah yang menambah ikatan mesra dan mengeratkan hubungan kami bagaikan sebuah keluarga.


Sesi taklimat dan motivasi ini berlangsung hampir lapan jam. Banyak ilmu serta pengalaman yang telah diberikan kepada kami. Puan Pengarah yang telah lama berkhidmat bersama Kraftangan Malaysia telah menggariskan beberapa nilai murni yang harus dipatuhi oleh setiap warga kerja bagi meningkatkan lagi mutu kerja seharian. Di antaranya amalan memberi salam, bekerja bersungguh-sungguh dengan ikhlas, memberikan senyuman kepada semua, mematuhi peraturan pejabat, menyaran setiap warga kerja harus mempunyai pelbagai kemahiran (multi skills), mendedahkan diri membantu melaksanakan pelbagai tugas (multi-tasking), pro-aktif, berintegriti dan banyak lagi.


Rezeki kami pada hari itu juga murah sekali. Ada sedikit jamuan makan sebagai penyeri majlis. Setinggi-tinggi ucapan terima kasih daun keladi kepada Kak Azizah dari syarikat Century Fiesta Batik yang telah menghadiahkan kami sebiji kek yang sungguh sedap sebagai santapan pemanis mulut. Makan, makan juga tapi diharapkan apa yang telah disampaikan oleh Puan Pengarah akan dipatuhi dan ditetapkan dalam diri.




"Bincang di celah-celah work station" mengeratkan lagi ukhwah dan semangat kerjasama antara warga kerja




"Amboi Cik Noor Iza kita ni, orang lain tengah sibuk makan, tapi dia pula berposing sakan.."

‘TAK KENAL MAKA TAK CINTA’

Pada tanggal 3 Januari 2011 yang lalu, Kraftangan Malaysia Cawangan Selangor telah menerima seorang lagi Pengarah baru bagi menggantikan Mantan Pengarah Encik Kamal Ruzaman bin Mera Husin yang telah bersara. Pengarah baru yang dimaksudkan adalah Puan Hajjah Ruslah binti Khalid. Kata orang “tak kenal, maka tak cinta”, jadi mari kita kenali serba sedikit siapa si empunya diri.


BIODATA RINGKAS

Nama : Puan Hajjah Ruslah binti Khalid
Tahun Mula Berkhidmat : Tahun 1986
di Kraftangan Malaysia


RINGKASAN KERJAYA SEPANJANG BERSAMA KRAFTANGAN MALAYSIA

- Memulakan kerjaya sebagai Setiausaha Jemaah di bawah Pengerusinya
Y.Bhg Tan Sri Dr. Hajjah Aishah Ghani
- Kemudiannya bertugas di bawah Pengerusi Jemaah, Y.Bhg. Tan Sri Azman Hashim
- 13 tahun bertugas sebagai Setiausaha Jemaah
- Kemudiannya ditempatkan di Bahagian Perhubungan Awam sebagai
Pegawai Perhubungan Awam (Media)
- Pada tahun 2003, beliau telah ditugaskan sebagai Pengarah Kompleks
Kraf Kuala Lumpur bagi merancang, mengurus dan mengawal selia pelaksanaan
aktiviti-aktiviti di Kompleks Kraf Kuala Lumpur
- Pada tahun 2005, beliau telah diberi tanggungjawab menggerakkan
aktiviti Promosi Domestik yang tugasnya merangkumi Kompleks Kraf Kuala Lumpur
- Pada tahun 2008, beliau telah dipindahkan ke Unit Perolehan sebagai
Ketua Penolong Pengarah (KPP)
- Pada tahun 2009, beliau telah dipindahkan kembali ke jawatan Pengarah
di Bahagian Perhubungan Awam yang kemudiannya dikenali sebagai
Bahagian Komunikasi Korporat
- Pada 15 Oktober 2009 beliau telah ditukarkan ke Bahagian
Khidmat Pengurusan dan menjawat jawatan sebagai Pengarah Bahagian
- Pada tanggal 3 Januari 2011, beliau telah ditugaskan untuk menjadi
Pengarah di Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia Cawangan Selangor.

Selasa, 11 Januari 2011

SEKALUNG TERIMA KASIH ATAS KUNJUNGAN YANG BERBAHAGIA KETUA PENGARAH KE PKKM CAWANGAN SELANGOR

Pada tanggal 4 Januari 2011 yang lalu, PKKM Cawangan Selangor telah menerima kunjungan Ybhg. Encik Mohd Kamil bin Mohd Ali, Ketua Pengarah Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia bagi melawat pejabat baru PKKM Cawangan Selangor yang terletak di Institut Kraf Negara, Rawang.


Turut hadir bersama beliau adalah beberapa orang Pengarah Bahagian dari Ibu Pejabat. Di antaranya ialah Pengarah Bahagian Usahawan, Encik Ibrahim Ismail, Pengarah Bahagian Rekaan, Encik Yusak Hj. Mahamud, Pengarah Bahagian Pasaran dan Promosi, Puan Faezah Abd. Aziz, Pengarah Bahagian Teknikal, Encik Kamaruzaman Idris, Pengarah Institut Kraf Negara, Encik Zainal Abidin Che Pa' serta beberapa pegawai kanan dari Ibu Pejabat.


Walaupun kunjungan tersebut berlangsung dalam masa yang singkat berikutan jadual padat Ybhg. Ketua Pengarah, namun ia sungguh bermakna kepada kami, seluruh warga kerja PKKM Cawangan Selangor. Kami warga PKKM Cawangan Selangor amat mengalu-alukan kedatangan semua dan gembira di atas kunjungan Ybhg. Ketua Pengarah. Terima kasih daun keladi, ada masa jemputlah lagi.....


“Burung Kedidi Burung Tempua,
Terbang Bebas Tinggi Di Awan,
Selamat Datang Kepada Semua,
Ikatan Ukhuwah Kita Eratkan”





Lawatan Ketua Pengarah bersama Pegawai-Pegawai Kanan Ibu Pejabat


Perbincangan mengenai penyelarasan pejabat baru PKKM Cawangan Selangor

Rabu, 5 Januari 2011

JAMUAN HARI LAHIR KAK ILA...







Pada tanggal 3 Januari 2011 yang lalu, satu jamuan hari lahir telah diadakan oleh Puan Zailah Zaid bagi meraikan hari lahir beliau bersama-sama warga Kraftangan Selangor. Puan Zailah yang dipanggil Kak Ila merupakan Timbalan Pengarah Kraftangan Malaysia Cawangan Selangor dan telah memangku jawatan Pengarah sepanjang Encik Kamal Ruzaman bercuti. Sambutan hari lahir ini telah diadakan di KFC Tesco Rawang.


Walaupun sambutan ini diadakan secara kecil-kecilan namun kegembiraan dan kemeriahan tetap dirasai oleh semua yang begitu teruja untuk meraikannya bersama.






"Selamat Hari Lahir" diucapkan buat Kak Ila. Kami mendoakan agar Allah memberikan kesejahteraan dan kegembiraan yang berpanjangan kepada beliau. Semoga dipanjangkan usia, dimurahkan rezeki dan diberikan kesihatan yang baik. Amin....


"Selamat Hari Lahir,
Selamat Hari Lahir,
Selamat Hari Lahir Kak Ila,
Selamat Hari Lahir...."

MAJLIS PERSARAAN ENCIK KAMAL RUZAMAN MERA HUSIN..






Baru-baru ini seluruh warga Kraftangan Malaysia telah kehilangan seorang lagi anggota kerja yang sangat disanjungi dan disayangi iaitu Pengarah Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia Cawangan Selangor, Encik Kamal Ruzaman bin Mera Husin. Beliau telah menamatkan perkhidmatan beliau pada 3 Januari 2011. Beliau merupakan seorang Pengarah yang berdedikasi, cemerlang dan berkarisma.










Sepanjang 33 tahun berkhidmat dengan Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia, beliau telah bertugas di beberapa cawangan termasuk di Sabah dan Sarawak. Beliau telah melaporkan diri untuk bertugas sebagai Pengarah di Cawangan Selangor pada 15 Oktober 2009.






Walaupun hanya hampir setahun bertugas di Cawangan Selangor namun jasa dan tunjuk ajar yang diberikan amat berguna dan bermakna sekali buat seluruh warga Kraftangan Malaysia Cawangan Selangor. Kami warga Cawangan Selangor berasa amat sedih di atas persaraan ini dan mendoakan agar Allah memberikan umur yang panjang dan dimurahkan rezeki kepada beliau dan keluarga.



Kepada Encik Kamal Ruzaman, kami mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan 'Selamat Maju Jaya' dan 'Selamat Bersara'. Semoga persaraan ini tidak menjadi penghalang kepada kami untuk terus mendapatkan tunjuk ajar dan nasihat daripada Encik Kamal...




SELAMAT TAHUN BARU 2011...




Kami warga Kraftangan Malaysia Cawangan Selangor ingin mengucapkan "Selamat Tahun Baru 2011" kepada seluruh warga Kraftangan Malaysia, usahawan kraf dan seluruh rakyat Malaysia. Semoga kedatangan tahun baru ini memberi kebahagiaan, kegembiraan dan meningkatkan semangat kerja dalam memajukan industri kraf negara.


"SELAMAT TAHUN BARU 2011"...

MAJLIS BACAAN YASIN...




Seramai 15 orang Hafiz daripada beberapa Sekolah Tahfiz di sekitar Ampang Jaya telah dijemput bagi bersama-sama anggota kerja PKKM Cawangan Selangor dalam Majlis Bacaan Yassin sempena pembukaan pejabat baru kami di Institut Kraf Negara (IKN), Rawang. Majlis ini telah diadakan pada 24 Disember 2010 pada jam 3.00 petang. Turut hadir bagi meramaikan majlis ialah Pengarah baru kami iaitu Puan Ruslah binti Khalid bersama beberapa anggota kerja dari Ibu Pejabat.

Majlis ini diadakan bagi memohon keberkatan daripada Allah S.W.T dan mengharapkan agar pejabat baru ini akan lebih aman, selamat dan seluruh anggota kerja akan lebih bersemangat serta gembira bertugas di tempat baru. Semoga Allah akan memberkati kami dan sentiasa dilindungi. Amin....

SESI TAKLIMAT HARI KRAF KEBANGSAAN 2011






Salam 1Malaysia,


Baru-Baru ini telah berlangsungkan satu Sesi Taklimat Usahawan Sempena Hari Kraf Kuala Lumpur 2011 pada 24 Disember 2011 (10.00 pagi) bertempat di Amfiteater, Kompleks Kraf Kuala Lumpur. Taklimat ini diadakan bagi meberikan maklumat awal kepada usahawan kraf supaya persediaan awal dapat dibuat bagi menghasilkan produk-produk rekaan yang terkini yang lebih menarik, berkualiti dan berinovasi untuk dipamerkan untuk aktiviti jualan dan pameran kraf sempena Hari Kraf Kebangsaan 2011. Hari Kraf Kebangsaan 2011 dijadualkan akan berlangsung pada 23 Februari hingga 7 Mac 2011 bertempat di Kompleks Kraf Kuala Lumpur.







Sesi taklimat ini telah dikendalikan oleh Cik Mursyida Mansor daripada Unit Promosi dan Pemuliharaan, PKKM Cawangan Selangor bersama Cik Noor Iza Kassim. Turut hadir bersama adalah Timbalan Pengarah PKKM Cawangan Selangor iaitu Puan Zailah binti Zaid. Seramai 70 usahawan telah hadir bagi mendengar taklimat ini dan beberapa borang diedarkan kepada para usahawan untuk dilengkapkan.


Di antara maklumat yang disampaikan pada sesi taklimat tersebut adalah:-

1. Kriteria Pemilihan Usahawan Kraf
2. Klasifikasi Produk Kraf Bagi Aktiviti Jualan
3. Jadual Perlaksanaan Penyertaan Usahawan Kraf
4. Senarai Semak Perlaksanaan Penyertaan Usahawan Kraf
5. Maklumat Usahawan Kraf


Turut diwar-warkan dalam sesi taklimat tersebut adalah berkaitan perpindahan pejabat PKKM cawangan Selangor ke premis baru bertempat di Institut Kraf Negara, Rawang berkuat kuasa 1 Januari 2011.

SELAMAT TINGGAL SHAH ALAM...








Pada 21 Disember 2011 yang lalu, seluruh warga kerja PKKM Cawangan Selangor telah bertungkus lumus mengadakan aktiviti gotong-royong untuk kerja-kerja perpindahan pejabat daripada Pusat Dagangan UMNO Shah Alam ke pejabat baru bertempat di Institut Kraf Negara, Jalan Templer, Rawang. Suasana sedih menyelebungi suasana kerana masing-masing sedih untuk meninggalkan pejabat yang telah dihuni sejak tahun 2003 lagi.







Kerja-kerja perpindahan mengambil masa selama tiga hari dan berakhir pada 23 Disember 2010. Biarpun pejabat baru nanti lebih luas dan besar, namun kesedihan turut melanda kerana banyak kenangan pahit dan manis yang dilalui sepanjang tujuh tahun beroperasi di sini.









Biarpun sedih, kerja tetap kerja. Tanggungjawab yang digalas bagi membantu usahawan kraf negeri Selangor dan Kuala Lumpur tetap harus dilaksanakan dengan baik. Diharapkan perpindahan ini memberikan semangat baru kepada seluruh warga kerja PKKM Cawangan Selangor kerana suasana dan persekitaran kerja di tempat baru adalah lebih baik.







SELAMAT TINGGAL PEJABAT SHAH ALAM... SELAMAT DATANG PEJABAT BARU DI IKN RAWANG....


GOTONG-ROYONG DI PEJABAT BARU..

Aktiviti gotong-royong bagi membersihkan pejabat baru telah diadakan pada 25 hingga 29 Disember 2010 yang lalu. Seluruh anggota kerja PKKM Cawangan Selangor telah bertungkus lumus dalam membersihkan kawasan dan bangunan baru.


Melalui aktiviti sebegini, dapat dilihat kemesraan serta ikatan ukhwah di antara anggota kerja adalah erat dan gembira walaupun pada hakikatnya masing-masing kepenatan.


Kepada sesiapa yang masih belum tahu berkaitan perpindahan ini, bersama-sama ini disertakan alamat pejabat baru kami adalah seperti berikut:

Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia
Cawangan Selangor
No.1 KM 20, Jln Ipoh-Rawang
Taman Rekreasi Templer
48000 Rawang
Selangor Darul Ehsan


Jadi, jangan lupa untuk datang melawat kami di sini.....

PERPINDAHAN PEJABAT PKKM CAWANGAN SELANGOR

Salam 1Malaysia,

Dimaklumkan bahawa PKKM Cawangan Selangor telah berpindah ke premis baru di Rawang bermula pada 1 Januari 2011.

Alamat Pejabat baru kami adalah seperti berikut :

Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia
Cawangan Selangor
No.1 KM 20, Jln Ipoh-Rawang
Taman Rekreasi Templer
48000 Rawang
Selangor Darul Ehsan

No.Tel : 03-60916564
No.Fax : 03-60915463

Segala urusan rasmi pejabat hendaklah menggunakan alamat dan talian baru selepas tarikh berkuatkuasa.

LAWATAN Y.A.M TENGKU PUAN PAHANG

Tanggal 16 Disember 2011 yang lalu, Yang Teramat Mulia Tengku Puan Pahang, Tunku Hajjah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah binti Almarhum Sultan Mahmud Iskandar Al-Haj telah mencemar duli melawat bengkel usahawan kraf batik negeri Selangor iaitu syarikat Abas & Sal Batik bertempat di kampung Padang Balang, Gombak, Selangor. Turut hadir bersama ialah Pengerusi Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia, Yang Berbahagia Datuk Zakiah binti Ahmad, Ketua Pengarah Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia, YBhg. Encik Mohd Kamil bin Mohd Ali, Pengarah Karyaneka Sdn. Bhd., Puan Zuridah, Pangarah Bahagian Usahawan Tn. Hj. Mohd Mokhtar bin Lop Ahmad, Timbalan Pengarah Kraftangan Malaysia Cawangan Selangor, Pn. Zailah binti Zaid, Encik Nor Azmi (Bahagian Usahwan Ibu Pejabat) dan Cik Noor Iza Kassim (Unit Usahawan PKKM Cawangan Selangor).


Rombongan Y.A.M Tengku Puan Pahang tiba di bengkel Abas & sal batik pada jam 10.30 pagi dan berangkat pulang pada jam 1.30 tengahari. Y.A.M Tengku Puan Pahang amat berminat untuk belajar menghasilkan batik dan hasil daripada lawatan ini telah memberikan idea serta pengalaman baru untuk dijadikan sebagai hobi masa lapangnya.


Y.A.M Tengku Puan Pahang juga telah mempelajari cara-cara untuk mendapatkan warna-warna batik yang cantik mengikut nisbah air yang betul serta berkongsi pandangan dan pendapat bersama Encik Abas, pengusaha batik berkenaan.


Kami dari Kraftangan Malaysia Cawangan Selangor amat berbangga dan gembira dengan lawatan tersebut kerana Y.A.M Tengku Puan Pahang merupakan puteri berjiwa rakyat dan peramah.

PROMOSI KRAF MALAYSIA LANGKAWI 2010

BENGKEL PENAMBAHBAIKAN KEDAI CENDERAMATA







Pada 15 Disember 2010 yang lalu, telah berlangsungnya satu Bengkel Penambahbaikan Kedai Cenderamata dan Kraftangan bertempat di Malaysia Tourism Centre (MaTIC), Jalan Ampang, Kuala Lumpur. Bengkel yang telah disertai oleh seramai 50 peserta daripada pelbagai agensi dan syarikat swasta merupakan anjuran Kementerian Pelancongan Malaysia. Kraftangan Malaysia Cawangan Selangor telah menghantar dua peserta iaitu Pn. Zailah binti Zaid dan Cik Mursyida Mansor.




Bengkel ini telah dikendalikan oleh Institut Karisma dan mereka telah menjemput Encik Faisol Abdullah, Pengarah Urusan Jendela KL dan Encik Juhfaidzal Juhari, Penerbit di Bernama TV untuk memberikan ceramah.



Program selama satu hari ini memberi penumpuan kepada pembelajaran dan perkongsian pangalaman pengusaha yang berjaya dalam bidang-bidang tersendiri seperti kedai perhiasan, produk cenderamata yang kreatif dan inovatif, penjenamaan, bahan-bahan pendidikan yang mempromosikan produk cenderamata dan lain-lain.


Walaupun hanya satu hari, namun manfaat yang diterima amatlah besar kerana Encik Faisol merupakan usahawan yang berjaya dalam bidang batik, hiasan dalaman dan cenderamata. Beliau juga tidak lokek untuk berkongsi ilmu pengetahuan dan pengalaman dalam membangunkan dan mengembangkan lagi minda usahawan supaya lebih terbuka dan kreatif dalam mempromosikan produk masing-masing. Para peserta juga amat 'sporting' kerana telah memberikan kerjasama yang terbaik dalam menjayakan bengkel ini.

Kepada semua peserta, terima kasih daun keladi, ada masa jumpa lagi.