Isnin, 21 Mac 2011

MERIAHNYA PMS KG. MELAYU AMPANG


Singkatan perkataan PMS bukanlah bermaksud Premenstrual syndrome yang selalu dihadapi oleh golongan wanita tetapi merujuk kepada Program Merakyatkan Seni dan Budaya (PMS) yang telah dianjurkan oleh Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negeri Selangor (JKKNS) pada hari Sabtu yang lalu, 19 Mac 2011 bermula pada pukul 9.00 pagi hingga 6.00 petang. Program ini telah dirasmikan oleh YB Dato’ Seri Utama Dr. Rais Yatim, Menteri di Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan (KPKK) pada pukul 3.00 petang.

(Sila klik pada gambar untuk paparan lebih jelas)


Di antara jemputan yang hadir ke program ini ialah Ybhg. En. Mohd Kamil (Ketua Pengarah Kraftangan Malaysia), Pn. Ruslah Khalid (Pengarah KMCS), Pn. Zailah Zaid (Timbalan Pengarah KMCS) dan ramai lagi. PMS ini telah dimeriahkan dengan penglibatan pelbagai agensi di bawah KPKK dan beberapa agensi kerajaan dan swasta. Pelbagai acara menarik telah diadakan seperti pameran agensi, demonstrasi kraf, pertandingan memadam api kebakaran, pertandingan sukan rakyat dan sukaneka, permainan tradisional, pertandingan mewarna batik, pertandingan mewarna kanak-kanak, pertandingan karaoke, persembahan pentas, persembahan artis jemputan, cabutan bertuah dan lain-lain.


KMCS dan IKN juga tidak melepaskan peluang untuk bersama-sama menyumbang tenaga dalam menjayakan pertandingan mewarna batik, demonstrasi dan interaktif kraf seramik dan anyaman rotan. Sambutan memang amat menggalakkan daripada golongan dewasa dan paling meriah dengan kerenah kanak-kanak yang begitu bersemangat mencuba sendiri menghasilkan pasu seramik. Jangan terkejut, ada yang sampai merajuk dan menangis sebab tidak berpeluang mencubanya. Bahkan, kehadiran tetamu cilik yang tidak disangka begitu menarik perhatian kami. Dua orang cucu YB Dato’ Seri sanggup berdiri selama hampir satu jam untuk menyiapkan pasu seramik mereka. Memang kreatif dan berbakat sekali Ku Arif dan Ku Lin menghasilkan pasu seramik rekaan sendiri. YB Dato’ Seri pun amat teruja dan gembira melihat pasu yang dihasilkan. Wah, nampaknya susahlah orang lain hendak cari makan lepas ni… (Jangan marah, Ku Arif dan Ku Lin).


Keseluruhannya, PMS ini sangat meriah dengan kehadiran penduduk di sekitar Ampang dan apa yang menarik aktiviti memasak secara bergotong-royong dan pertandingan sukan rakyat yang semakin dilupakan telah berjaya menarik minat pengunjung yang datang. Tahniah, kami ucapkan kepada pihak penganjur yang telah bertungkus lumus menjayakan program ini.


(sila klik pada gambar untuk paparan yang lebih jelas)

Kepada Pengurusan IKN khususnya Linda (Nor Azlinda), Noor (Norsiah), Abg. Iza (Ghazali), Chor (Saiful Fadly), Jay Jay (Nordin) dan Jefry, kami di KMCS mengucapkan jutaan terima kasih atas kerjasama yang telah diberikan. Tidak dilupakan terima kasih daun keladi kepada semua rakan-rakan di KMCS yang telah membantu. Terima kasih…


Tiada ulasan:

Catat Komen